Kurang Upaya   ico_disabled

Sejarah

SEJARAH PENUBUHAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA


Sejarah penubuhan Jabatan Penerangan dikatakan bermula dari tarikh penubuhan Jabatan Publisiti dan Percetakan (Department of Publicity and Printing) pada bulan September 1945. Walau bagaimanapun, sebelum itu terdapat agensi kerajaan yang menjalankan tugas-tugas perhubungan awam iaitu Malay States Information Agency yang ditubuhkan pada tahun 1926. Jabatan ini disusun semula untuk disesuaikan dengan pentadbiran sivil mulai 1 April 1946 dan diberi nama baru iaitu Jabatan Perhubungan Raya (Department of Public Relations). Pada tahun 1950 nama itu ditukar kepada Jabatan Penerangan dengan tugas-tugas yang tersusun dan diperluaskan lagi. Jabatan ini diletakkan di bawah Kementerian Penerangan yang ditubuhkan pada tahun 1961.


Laporan Jabatan terawal yang terdapat di Arkib Negara ialah laporan bulanan bagi bulan September 1945 yang menyebut bahawa jabatan telah ditubuhkan semenjak 24 September 1945. Minit mesyuarat D.C.C.A.O. Conference bertarikh 22 September 1945 mencatatkan bahawa Jabatan Publisiti dan Percetakan telah diwakili oleh Colonel Dumeresque (Director, Department of Publicity and Printing, British Military Administration, Singapore) dan Major Walker (mewakili Department of Publicity and Printing, Kuala Lumpur). Jabatan ini ditubuhkan dengan tujuan mengembalikan imej Kerajaan British yang telah terjejas akibat pendudukan Jepun. Pentadbiran Tentera British berlangsung dari 5 September 1945 dan tamat pada 31 Mac 1946. British Military Administration menghadapi keadaan kucar-kacir selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Sebahagian rakyat telah hilang kepercayaan terhadap mereka. Pada masa itu beberapa pertubuhan kebangsaan telah tumbuh dengan matlamat membebaskan Tanah Melayu dari sebarang penjajahan kuasa asing.